Sabtu, 26 Februari 2011

Pejuang Islam


 
Kekalahan golongan Kuffar dalam peperangan secara fizikal dan senjata (pada perang salib dan perang-perang lainnya) menyebabkan mereka berfikir mencari jalan lain untuk mengalahkan umat Islam. Mereka kini melakukan serangan pemikiran secara bertubi-tubi, sistematik, teratur dan terancang dengan baik untuk mengubah Syakhsiyah Islamiyyah (keperibadian Islam) kepada Syakhsiyah Ghutsaiyyah (Keperibadian Buih). Umat Islam yang dulunya memerintah dunia dengan Hidayah Allah kini beransur-ansur tunduk dan menjadi pengikut kepada cara hidup jahiliyyah yang tidak mengenal Allah sebagai Rabb dan Ilah. Keperibadian umat Islam, kini dikikis habis; yang dulunya adalah rijal 'aqidah (pendokong 'aqidah) kini umpama buih ketika banjir.

KEBANGKITAN RUH

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu kaum, kecuali mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka ( Surah Ar Ra’du: 11 )

Oleh itu perkara terpenting yang harus mendapat perhatian di dalam kerja-kerja dakwah, yang nantinya akan menentukan kemunculan, pertumbuhan dan penyebarannya di muka bumi – adalah kebangkitan ruh; sehingga yang pertama kali dicanangkan dalam dakwah ini adalah kebangkitan ruh, hati yang hidup dan ketajaman nurani.

Oleh itu, dakwah Islamiyyah lebih menekankan pada peningkatan motivasi dan pembinaan ruhani di atas amal Islami yang beraneka ragam bentuknya.
Kita menginginkan :
Terbangunnya jiwa-jiwa yang hidup, kuat dan teguh.
Hati-hati yang segar dan memiliki semangat yang berkobar-kobar.
Jiwa-jiwa yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa merindukan tercapainya cita-cita Islami serta sentiasa bekerja keras dalam usaha-usaha menuju ke sana.

Umat Islam harus berupaya menyatukan jiwa mereka dengan nilai-nilai ini, sehingga terbangunlah sebuah aqidah yang mantap. Tanpa panduan yang jelas kebangkitan umat hanya seperti lilin kecil di tengah gulita Sahara. Nyalaannya akan terasa redup, lemah dan tidak bertenaga.

Kebangkitan Pertama
Kita perlu berusaha agar dakwah kita sentiasa meniti langkah di atas manhaj dakwah generasi pertama. Kita menginginkan agar kebangkitan dakwah hari ini menjadi gema dan penerusan dari kebangkitan dakwah pertama yang dibawa oleh Rasulullah SAW sejak lebih 1400 tahun yang lalu di Kota Mekkah.

Alangkah baiknya sekiranya kita dapat kembali menghayati semangat dakwah yang ada pada masa itu; yang disinari oleh cahaya nubuwwah dan keagungan wahyu Ilahi.
Marilah kita mengkaji kembali jejak langkah Rasulullah SAW; penghulu para Rasul dan Murabbi pertama umat ini.

Petunjuk dan cahaya Rabbani bagaimanakah yang sebenarnya diberikan oleh Baginda kepada para sahabat, sehingga memancarnya cahaya yang bersinar terang setelah kegelapan menguasai kehidupan.

Air kehidupan apakah pula yang disiramkan oleh baginda ke dalam hati-hati mereka, sehingga mereka dapat sentiasa bergerak, berkembang, menumbuhkan bunga-bunga, melapisinya dengan dedaunan nurani dan perasaan serta tumbuh di dalamnya kreativiti dan kemauan yang tinggi.

Didikan Rasulullah S.A.W

Rasulullah SAW menanamkan tiga hal pada diri para sahabat untuk membangkitkan ruhani atau jiwa mereka

Beriman Dengan Keagungan Risalah IslamRasulullah SAW menanamkan dalam hati mereka bahawa Risalah yang dibawanya adalah al haq, sedangkan selainnya itu adalah kebatilan. Risalah Islam adalah sebaik-baik risalah. Manhaj Islam adalah manhaj yang paling utama. Syariat Islam adalah sistem perundangan yang paling sempurna yang hanya dengannya akan terwujudnya kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.
Di samping itu baginda juga membacakan sebahagian ayat-ayat Allah kepada mereka, untuk menambah keteguhan jiwa dan keterikatan hati mereka.

Maka berpegang teguhlah kamu kepada apa yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya, kamu berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya al Quran itu benar-benar suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu; dan kelak kamu akan ditanya ( Surah Az Zukhruf : 43-44 )

Maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya engkau berada di dalam kebenaran yang nyata.( Surah An Namlu: 79 )

Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syari’at (peraturan) dari urusan (Deen) itu, maka ikutilah syari’at itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui ( Surah Al Jatsiyah: 18 )

Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beiman sehingga mereka menjadikan kamu sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.( Surah An Nisa’: 65 )

Mereka (para sahabat) pun akhirnya beriman dan yakin dengan ayat-ayat ini serta berusaha untuk sentiasa bertolak dari sana dalam segala urusan

Berbangga Dengan Deenul IslamRasulullah SAW menanamkan dalam hati para sahabat bahawa selama mereka berada di dalam kebenaran dan menjadi pembelanya, maka mereka berada di atas jalan yang terang. Selain dari itu adalah kegelapan.
Selama di tangan mereka tergenggam petunjuk dari langit untuk membimbing manusia, maka lanjutannya, mereka harus menjadi pemandu dan pengarah umat manusia. Mereka harus menjadi pembimbing, pendidik, penunjuk jalan dan penuntun manusia ke arah kebenaran di atas jalan yang lurus.
Al Quran al Karim menegaskan sekaligus menjelaskan kandungan makna ini. Para sahabat pun mendengar dan menerima penjelasannya secara langsung dari Rasulullah SAW.
Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari mungkar serta beriman dengan Allah
( Surah Ali Imran: 110 )

Demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi atas (perbuatan) manusia dan agar asul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu ( Surah Al Baqarah: 143 )

Berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam Deen ini (Islam) suatu kesempitan ( Surah Al Hajj: 78 )

Mereka pun beriman dan yakin dengan semua yang tercantum dalam ajaran Al Quran serta berlumba-lumba untuk mengamalkannya

Keyakinan Akan Datangnya Bantuan Dan Pertolongan Allah.
Rasulullah SAW menanamkan dalam hati para sahabat bahawa selama mereka yakin dengan kebenaran dan merasa bangga berpegang padanya, maka selama itu pula Allah beserta mereka dan akan menolong mereka.
Allah pasti akan memberi petunjuk, membantu dan memenangkan mereka disaat para tentera bumi tidak ada yang mahu bangkit bersama mereka, Allah akan menurunkan bantuan dari tentera langit untuk mereka.
Para sahabat kemudian menelaah makna-makna ini, sebagaimana yang terpapar jelas dalam kitab Allah. Mereka lantas beriman lalu lenyaplah segala kesedihan dan kerisauan.

Sesungguhnya bumi ini milik Allah, yang akan diwariskan kepada siapa saja yang dikehendaki dari hamba-hamba-Nya. Dan akibat terbaik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. ( Surah Al A’raf: 128 )

Sesungguhnya bumi ini aakan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang shalih. ( Surah Al Anbiya’: 105 )

Dan sesungguhnya Allah akan memenangkan orang yang membela-Nya. Sesungguhnya Allah itu Mahakuat lagi Maha Perkasa.( Surah Al Hajj: 40 )

Allah telah menetapkan ‘Aku dan rasul-rasul Ku pasti menang’ Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa ( Surah Al Mujadalah: 21 )

(ingatlah) ketika Rabbmu mewahyukan kepada para malaikat, "Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhlah pendirian orang-orang yang telah beriman."
..dan Kami selalu berkewajiban untuk menolong orang-orang yang beriman
( Surah Ar Ruum: 47 )

Dan Kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)
( Surah Al Qashash: 5 )

Mereka membaca ayat-ayat ini dan memahami dengan sebaik-baiknya, sehingga Iman mereka pun semakin kukuh dan keyakinan mereka semakin mantap. Mereka sentiasa berlumba-lumba dalam kebajikan dengan mengamalkan kandungan Al Quran.
Penutup

Dengan berbekalkan tiga keyakinan ini;
Beriman Dengan Keagungan Risalah Islam.
Berbangga Dengan Deenul Islam.
Keyakinan Akan Datangnya Bantuan Dan Pertolongan Allah.
Rasulullah SAW telah berjaya menghidupkan (dengan izin Allah) Iman dalam hati kaum mukminin. Baginda menentukan sasaran-sasaran yang harus mereka capai dalam hidup yang singkat ini.

Para sahabat pun maju ke medan perjuangan untuk mengembangkan risalah Islam, dengan menghafalnya bersungguh-sungguh di dalam dada, serta mengamalkannya dalam akhlaq seharian dan seluruh aktiviti hidup mereka. Mereka hanya mengharapkan balasan Allah SWT, serta yakin akan pertolongan dan bantuan Nya.

Mereka akhirnya berjaya menundukkan dunia (setelah menundukkan nafsu mereka dengan apa yang dikehendaki Allah SWT) dan mendirikan di atasnya dasar-dasar kehidupan yang utama (Iman). Mereka berhasil menegakkan sebuah peradaban besar yang diwarnai oleh akhlaq karimah dan kasih sayang terhadap sesama manusia.

Para mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal soleh dan azam kebaikan. Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.

Oleh itu menjadi satu keperluan untuk kita duduk bersama di dalam suasana tarbawi (yang mendidik) untuk kita beriman seketika (iaitu memperbaharui Iman)

0 komentar:

Posting Komentar